Cerita sebenar puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya Kisah bermula dengan Puteri Sinar Bulan mempunyai suami bernama Putera Ramrina. Mereka menuntut dengan Mahaguru Maharasyi Mata Api. Lama kelamaan Puteri Sinar Bulan pun mengandung tiga bulan. puteri Sinar Bulan ingat hendak kembali bersalin di istana raja oleh kerana suaminya anak raja. Putera Ramrina ini adalah anak kepada Raja Andika Sari. Lalu mereka pergi meminta izin kepada Tok Guru Maharasyi babawa mereka hendak pulang ke istana dan Maharasyi memberi keizinan kepada mereka berdua.
Di pertengahan jalan Putera Ramrina dan Puteri Sinar Bulan bertemu dengan gergasi yang bernama Kamkeng. Kebetulan Gergasi Kamkeng ini ialah raja gergasi. Ia hendak mengahwinkan anaknya puteri Cahaya dengan Gergasi Damtamin. Isteri Gergasi Kamkeng bernama Luman.
Adat gergasi apabila hendak membuat kenduri kahwin mesti melumur rumah dengan darah manusia. Gergasi Kamkeng telah meminta izin bininya untuk mencari darah manusia. Semasa berjalan-jalan itu ia terjumpa dengan Sinar Bulan dan suaminya Ramrina.
Bulan bertujuan mengambil darah mereka. Maka berlakulah pertengkaran dan pertempuran di antara Putera Ramrina dan orang suruhannya dengan Gergasi Kamkeng. Dalam perlawanan ini Gergasi Kamkeng telah tewas dan telah ditangkap oleh Putera Ramrina dan dua orang hambanya iaitu Ito dan Nunui. Gergasi Kamkeng telah mereka ikat dan mereka hendak membunuh gergasi tersebut, tetapi Gergasi Kamkeng berkata,
"Janganlah kau bunuh aku, aku mai sini cuma nak ambik darah menusia. Dengan betui iklas aku bagi tau aku nak ambik darah menusia, ikut adat gergasi ambik darah menusia lumok ghumah baghu boleh kawinkan anak. Bukalah ikatan ni, aku sanggup kawinkan Ramrina dengan anak aku Puteri Cahaya".
Yang mengikat Gergasi Kamkeng ialah Puteri Sinar Bulan bini Putera Ramrina. Puteri Sinar Bulan ini seorang yang megah kerana tuah anaknya yang di dalam kandungan. puteri Sinar Bulan mengizinkan suaminya berkahwin dengan Puteri Cahaya. Gergasi Kamkeng sanggup mengahwinkan anaknya dengan Ramrina tetapi anaknya puteri Cahaya telah pun dipinang terlebih dahulu oleh Gergasi Damtamin. Namun begitu masih belum cukup tempohnya sepuluh hari untuk dikahwini.
Ramrina lalu berkata, "Tak pa lah."
Mereka pun balik ke negeri gergasi.
Tersebutlah pula kisah Gergasi Perop Lok Ka, yang bertunang dengan Puteri Suni anak kepada Bangkaro bininya Puteri Keriana. Apabila cukup tempoh dia hendak berkahwin dengan puteri Suni, anak kepada Bangkaro. Gergasi Perop Lok Ka terus pergi meminang, tetapi bangkaro berkata, �Walaupun dipelemah dia (Puteri Suni) tak kan setuju dengan Perop Lok ka.
Perop Lok Ka rasa kecewa, lalu bertanya, "Dah berapa hari dia laghi?" Bangkaro menjawab, "Sudah enam hari tak jumpa lagi".
Perop Lok Ka minta izin dari Bangkaro untuk pergi mencari sendiri. Kalau ada jodoh boleh bertemu lagi. Setelah sekian lama mencari akhirnya Perop Lok Ka pun bertemu dengan Puteri Suni berserta hambanya Samo dan Same. Mereka pun berlawan untuk merebut Puteri Suni.
Tersebutlah kisah dewa-dewa kayangan yang mempunyai anak dara bernama Tip Siri. Dewa-dewa tadi menyuruh anaknya Tip Siri melihat keadaan di muka bumi yang riuh rendah.
Tip Siri berkata, "Gergasi Perop Lok Ka nak tangkap Suni, Puteri Suni ni bukan jodoh Perop Lak Ka".
Dewa-dewa (ayah Tip Siri) suruh Tip Siri tolong lepaskan Suni dari Perop Lok Ka. Tip Siri pun lalu terbang ke bumi lalu rnenghentam Perop Lak Ka. Perop Lok Ka tak mati tapi lepas lari. Tip Siri rnembawa Puteri Suni dan hamba-hambanya lari ke wat rnahaguru tempat Ramrina menuntut. Mereka berempat pun berehat dan menuntut di sana.
Kemudian tersebut semula Gergasi Dantamin yang bertunang dengan anak gergasi Kamkeng. Setelah genap sepuluh hari, maka datanglah gergasi yang akan berkahwin dengan puteri Cahaya itu. Apabila datang untuk menepati janjinya, dia dapati Puteri Cahaya telah berkahwin dengan Putera Ramrina lalu Dantamin berkata,
"Cakap tunang, tapi kawin dengan oghang lain. Jodoh dulu macam mana? Cakap tak betui, macam lidah bewak".
Puteri Cahaya meminta maaf. Luman tidak bersetuju boleh menikah sahaja disebabkan gergasi kalah dengan manusia.
Damtamin kata lagi "Macamana, cakap janji gergasi ini tak betui".
Lalu Kamkeng jatuh hukum "Kalu nak tengok sapa megah, sapa menang bolehlah berkahwin dengan anak aku Puteri Cahaya".
Putera Ramrina tak berani belawan dengan Damtamin. lsterinya puteri Sinar Bulan lalu bangun dan bersetuju untuk berlawan dengan gergasi Damtamin lalu berkata, " Walau apapun terjadi dia yang nak bagi kawin dengan Puteri Cahaya. La ni dia sanggup nak lawan kedighi". Hambanya Ito dan Nunui pun hairan kerana terlalu sayangkan suaminya sampai sanggup untuk menggadai nyawa sendiri. Mereka tak percaya Puteri Sinar Bulan boleh berlawan dengan gergasi Damtamin yang megah itu. Lagipun Puteri Sinar Bulan seorang perempuan yang sedang mengandung 6 bulan.
Gergasi Kamkeng memanggil puteri Sinar Bulan dan gergasi Damtamin sedang menunggu di padang luar kota. Gergasi Kamkeng sudah memberitahu mereka tidak boleh masuk kedalam kota walaupun waktu malam.
Semua tidak membenarkan Puteri Sinar Bulan untuk berlawan dengan gergasi Damtamin memandangkan ia sedang mengandung, kecuali gergasi Luman. Luman berkata "Lawan pi, biaq dia mati".
Puteri Sinar memanggil gergasi Dantamin. Dantamin minta pedang, Ito minta kapak, Nunui minta kapak. Mereka berlawan di luar kota.
Puteri Sinar Bulan menjerit, "Inikah gergasi Damtamin". Dijawab oleh gergasi Damtamin, "Ya, ini sebab hang perampas tunang aku". Disambut oleh Puteri Sinar Bulan, "Kami datang nak tuntut bela laki kami".
Hamba-hamba Damtamin berkata, "Kalau hang menang dengan orang perempuan pun bukan hang dapat nama, kalau hang kalah lagi teruk, la ni hang tak payah lah lawan".
Puteri Sinar Bulan kata dia nak lawan juga kerana membela suaminya Ramrina. Mereka berlawan dari pagi hingga ke senja belum lagi mana-mana pihak mengalah. Puteri Sinar Bulan menikam gergasi Damtamin. Gergasi Damtamin telah lari dan menyembunyikan dirinya dalam hutan. Pada waktu malam gergasi Damtamin terus menyembunyikan diri didalam hutan. Mereka yang lain tidak tahu kemana hendak pergi. Raja gergasi tidak benarkan mereka masuk kedalam kota walaupun waktu malam.
Mereka semua tidur di padang. Pada waktu senyap sunyi dan manusia pun sudah tiada, lalu keluarlah bini Kamkeng yang bernama Luman. Luman mencari Puteri Sinar Bulan untuk dibunuh kerana Luman irihati terhadap kemegahan dan kekuatan Puteri Sinar Bulan yang hendak membela suaminya. Semasa ia mengangkat pedang hendak memancung Puteri Sinar Bulan lalu Puteri Sinar Bulan terjaga. Puteri Sinar Bulan terus menikam Luman.
Luman luka dan terus melarikan diri kedalam kota. Kerana terlalu sakit ia memberitahu suaminya gergasi Kamkeng.
Lalu Kamkeng berkata, "Buat apa hang pi keluar lawan manusia, manusia tu megah daripada gergasi, akupun dah kena, aku dok pesan jangan keluar, kalu gitu bubuh ubat kot ni kurang sakit".
Pagi-pagi esok rnereka mencari gergasi Damtamin lalu terjumpa sedang rmenahan kesakitan didalam hutan. Mereka terus berlawan lagi dan Damtamin dibunuh oleh Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya. Puteri Sinar Bulan membawa mayat gergasi Damtamin untuk ditunjukkan kepada gergasi Kamkeng. Bila sampai di istana ia melihat gergasi Kamkeng dan isterinya Luman sedang berbincang tentang kesakitan yang dialaminya.
Puteri Sinar Bulan meminta izin untuk berjumpa suaminya Ramrina. Kemudian suaminya yang telah mengahwini Puteri Cahaya pun keluar menemui Puteri Sinar Bulan.
Semasa ia mengandung 7 bulan Puteri Sinar Bulan bercadang untuk berehat dan bersenang selepas berjaya membunuh gergasi Damtamin. Lalu gergasi Kamkeng mengeluarkan satu syor iaitu dia mempunyai seorang kawan di negeri Langkapuri bernama Kedelek (dalam Bahasa Malaysia gergasi Maharaja Besi).
Gergasi Kamkeng berkata, "Kalau setuju di Langkapuri (Langkawi) ada ubat beranak, ada bidan nak bersalin, di negeri gergasi tak ada ubat bersalin, tak ada bidan tapi di sana semua cukup. Kalan setuju bolehlah pergi bersalin di sana".
Puteri Sinar Bulan pun bersetuju dan terus memberitahu Putera Ramrina. Ramrina seorang yang lemah lembut dan sentiasa menurut cakap isteri-isterinya. Dia sayang dan turut semua kehendak isteri tuanya kerana apabila dia dalam kesusahan isteri tualah yang akan membantu dan menolongnya.
Isteri muda melarang dengan berkata, "Kakak tak usah pergilah di sana, tinggal dan bersalin di sini. Dia tak pernah dengar di sana ada bidan untuk bersalin".
Puteri Sinar Bulan marahkan Puteri Cahaya supaya jangan dan masuk campur urusannya. Cuma dia minta supaya Puteri Cahaya menjaga Ramrina baik-baik, selepas ia bersalin ia akan balik kepada mereka. Selepas minta izin dari suaminya Ramrina iapun berangkatlah ke Negeri Langkapuri.
Setelah Puteri Sinar Bulan setuju dia pun minta gergasi Kamkeng siapkan perahu yang besar boleh memuatkan tiga orang.
Dikepala perahu ditulis
"Sampai pagi makan pagi,
Sampai petang makan petang"
Ini adalah muslihat gergasi Kamkeng menyuruh gergasi Kedelek makan ketiga-tiga manusia itu. Kebetulan mereka bertiga tak tahu membaca. Setelah sekian lama belayar mereka pun sampai di tengah laut pada waktu malam. Lalu dilihat oleh dewa-dewa iaitu ayah Tip Siri. Dilihatnya tiga orang manusia dalam keadaan letih lesu di dalam perahu. Dewa itu terus turun ke dalam perahu mereka dan bertanya, "Kemana anak-anak bertiga nak pergi?".
Lalu dijawab oleh Puteri Sinar Bulan "Hamba nak pergi bersalin dirumah kawan gergasi Kamkeng iaitu gergasi Kedelek di Langkapuri". Dan Puteri Sinar Bulan menyuruh sang dewa membaca apa yang di tulis di kepala perahu kerana dia sendiri tak tahu membaca.
Kemudian dibaca oleh sang dewa "sampai pagi makan pagi, sampai petang makan petang" tetapi diubah oleh sang dewa dengan berbunyi.
"Sampai pagi sambut pagi
Sampai petang sambut petang
Puteri Sinar Bulan ada gaji lima ratus
Ito ada gaji seratus
Ninui ada gaji lima sen"
Mereka bertiga tersangat gembira. Dang Dewa menyuruh mereka belayar ke Langkapuri sehingga selamat sampai. Apabila sampai di sana sampailah gergasi Keledek dan hambanya Ipon untuk melihat sama ada yang datang itu musuh atau kawan.
Mereka bertiga memperkenalkan diri masing-masing yang mereka dihantar oleh gergasi Kamkeng kepada gergasi Kedelek untuk bersahabat.
Gergasi Kedelek membaca apa yang ditulis di kepala perahu
"Puteri Sinar Bulan ada gaji
Ito ada gaji
Nunui ada gaji"
Dan mereka disuruh jaga dengan baik-baik. Jadi gergasi Kedelek membawa mereka balik ke rumah dan menjaga dengan baik seperti mana yang dikehendaki oleh sahabatnya gergasi Kamkeng. Setelab genap sembilan bulan Puteri Sinar Bulan pun bersalin.
Tersebutlah kisah isteri Kamkeng iaitu Luman. Dia rasa nak ikut pergi lihat sendiri adakah manusia bertiga iaitu Puteri Sinar Bulan sudah dimakan oleh gergasi Kedelek atau belum. Sejak mereka pergi sampai sekarang Luman tidak mendengar sebarang perkhabaran. Mereka semua pun bersiap untuk pergi melihat keadaan manusia yang dihantar ke Langkapuri itu.
Pada masa yang sama gergasi Luman telah memporak perandakan Ramrina dan anaknya Puteri Cahaya. Luman hendak membunuh Ramrina tetapi Ramrina dapat melarikan diri. Ramrina tinggal dalam keadaan merana dan dia telah membawa diri ke wat Mahaguru Maharasyi. Ramrina telah menceritakan yang dia telah ditimpa kemalangan dan kesusahan. Dia juga menceritakan isterinya pergi ke Langkapuri untuk bersalin.
Mahaguru menilik nasib mereka lalu berkata, "Oh! hang ni kena tipu, perempuan hang pun kena tipu".
"Siapa kena tipu?" Ramrina bertanya.
Mahaguru bertanya "Berapa orang dia pi?"
Ramrina menjawab, "Tiga orang"
Sambut Mahaguru, "Mungkin dia kena tipu, tak pernah dapat khabaran apa ka?"
Dijawab Ramrina, "Tak dak"
Mahaguru memanggil Tip Siri dan puteri untuk menjaga Ramrina sehingga isterinya dapat kembali semula tetapi dalam hati Mahaguru berkata Puteri Sinar Bulan telah dimakan oleh gergasi.
Berbalik kepada kisah gergasi Kamkeng yang sedang dalam perjalanan ke Langkapuri. Setelah sampai ke Langkapuri, gergasi Kamkeng terus bertanya kepada gergasi Kedelek, "Bagaimana manusia bertiga itu?" Gergasi Kedelek membalas, "Kami layan dengan baik, tiap-tiap bulan bayaq gaji, habis dah kerbau, lembu, tanah bendang, huma semua kami gadai, dok bayaq gaji depa tiga oghang, ni dia bersalin dah".
Gergasi Kamkeng terperanjat, "Macam mana layan baik, pasai apa tak makan buang, buat apa tipu kami".
Gergasi Kedelek berkata, "Kami layan baik sebab di kepala perahu suruh layan baik, awat hang tipu kami buat pa?"
Lalu disambung oleh gergasi Kamkeng, "Aku tulis suruh makan, macam mana jadi ni?"Mereka bertengkar dan bercampur kehairanan kerana lain yang ditulis, lain yang dibaca. Akhirnya gergasi Kedelek membawa gergasi Kamkeng melihat sendiri apa yang tertulis di kepala perahu itu. Setelah di lihat betullah seperti mana yang dikatakan gergasi Kedelek itu, iaitu
Sampai pagi sambut pagi
Sampai petang sambut petang
Puteri Sinar Bulan gaji lima ratus
Ito gaji seratus Nunui lima sen
dan disuruh layan dengan baik
Setelah itu gergasi Kedelek dan gergasi Kamkeng pergi melihat Puteri Sinar Bulan bersalin. Mereka terperanjat kerana puteri Sinar Bulan tidak beranakan manusia tetapi bersalinkan seketul intan. Kedua-dua orang hambanya iaitu Ito dan Nunui sedang membasuh ketul intan itu dan sibuk mencari jerami untuk menetaskan ketul intan itu.
Pada masa itu gergasi Kamkeng dan gergasi Kedelek sedang mabuk. Gergasi Kamkeng mengambil ketul intan dan membalingkan ke sebelah matahari jatuh. Gergasi Kedelek terus mengambil Puteri Sinar Bulan yang sangat lemah kerana baru lepas bersalin dibaling ke sebelah matahari naik, jatuh ke dalam Laut Khalzum (Laut Merah). Datanglah seekor ikan duyung menyambut Puteri Sinar Bulan yang sudah mati lalu di simpan di celah batu di perut laut. Reput pun tidak busuk pun tidak tapi sudah mati.
Tersebutlah pula ketul intan tadi berterbangan di angkasa naik turun. Apabila terjumpa oleh harimau, harimau nak ambil dia terbang naik. Lalu terbang turun terjumpa dengan unggas atau burung kejar nak ambil. Kemudian di jumpai oleh manusia iaitu dua orang anak murid Tok Guru Tok Misai. Mereka pun mengejarnya tetapi terserempak harimau, lalu mereka tinggalkan kerana takut harimau.
Ketul intan dibawa lari sang harimau, terlepas dari mulut harimau masuk ke mulut buaya, lepas dari mulut buaya, terbang naik ke udara semula. Melihat keadaan yang ganjil itu Sang Dewa-Dewa pun berkata, "Apa benda terbang melayang-layang, sat terbang naik, sat terbang turun, manusia tak dapat tangkap dia".
Lalu apabila dewa-dewa membawa sebilah kapak sakti danapabila ktul intan itu melintas dihadapannya dia pun menangkap dan membelah dengan kapak saktinya. Terbitlah tiga orang anak perempuan. Seorang manusia, hitam, yang seorang manusia putih dan seorang manusia kemerah-merahan.
Yang hitam dibalingnya ke sebelah barat, yang kemerah-merahan dibalingnya ke timur dan yang putih dibalingnya ke sebelah utara. Sang Dewa memberi nama Puteri Tiga Warna. Budak-budak yang bertiga itu berterbangan dan ditangkap semula dan dijaga di atas kayangan.
Tinggallah hamba dua orang itu iaitu Ito dan Nunui. Puas mereka mencari Puteri Sinar Bulan dan ketul intan tetapi tak berjumpa. Mereka berlawan dengan gergasi Kamkeng lalu dibunuh oleh Ito dan Nunui tetapi gergasi Kedelek lari menyembunyikan diri. Mereka tidak dapat mencarinya.
Ito dan Nunui balik ke negeri Andika Sari dan memberitahu kepada Ayahanda Ramrina. Ayahanda Ramrina berkata, "Mereka tak balik ke sini pun". Mereka pun hairan dan terus pergi mencari di wat Mahaguru Maharasyi. Disana mereka berjumpa dengan Puteri Suni. Ramrina dan Tip Siri sedang berkawan di situ. Mereka meminta Mahaguru menilik nasib Puteri Sinar Bulan dan anaknya samada masih hidup atau sudah mati.
Lepas menilik, Mahaguru berkata, "Puteri Sinar Bulan mungkin mati tetapi ikan duyung telah simpan di perut laut di celah batu, busuk pun dak, reput pun dak".
Hambanya (Ito dan Nunui) berkata, "Macam mana nak ambik balik mayat tu?"
Mahaguru berkata, "Selagi anak dalam ketui intan tak besag, sapa pun tak boleh ambik balik".
"Anak mana?" tanya hambanya dengan kehairanan.
"Anak yang dalam ketui intan, anak tiga orang perempuan tak tau dok mana, mungkin diambik oleh dewa-dewa nanti besag boleh tuntut mayat tu", kata Mahaguru Maharasyi.
Ito dan Nunui tak berani nak kemana-mana jadi Mahaguru mengajak Ito dan Nunui tinggal dengannya di wat, lagipun Puteri Sinar Bulan telah meninggal dunia. Selagi anaknya belum besar, maka mayatnya akan berada di dasar laut di celah batu di jaga oleh ikan duyung.
Mereka berlima pun hidup aman dan gembira di wat tersebut.
0 comments:
Post a Comment